KUALA LUMPUR: Tindakan menahan dan menyaring pendatang asing tanpa izin (PATI) daripada COVID-19 akan diteruskan bagi memastikan wabak itu dapat dikawal dan tidak terus menular dalam kalangan rakyat.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menegaskan bahawa tindakan itu akan diteruskan kerana ia bukan satu bentuk amalan diskriminasi terhadap PATI yang melanggar undang-undang negara.
Sebaliknya kata beliau, tindakan tegas kerajaan itu bertujuan menjaga serta memastikan kepentingan dan keselamatan umum, khususnya rakyat yang majoriti patuh kepada prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
“Walau apa pun desakan daripada kumpulan ini kepada kerajaan, kita tidak akan tunduk kepada kehendak mereka kerana tindakan kita adalah untuk menjaga kepentingan dan kesihatan rakyat,” katanya pada sidang media harian mengenai PKPB di Putrajaya, hari ini.
Ismail Sabri menegaskan tidak timbul isu diskriminasi terhadap golongan PATI di negara ini kerana tindakan kerajaan adalah untuk menjaga kepentingan rakyat yang majoritinya mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) PKPB bagi mengekang penularan COVID-19.
“Mereka perlu sedar pendatang tanpa izin adalah mereka yang memasuki negara secara haram. Saya tidak tahu (jika ada) mana-mana negara dalam dunia ini yang membenarkan mereka yang masuk secara haram tanpa dokumen sah bebas bergerak ke mana-mana sahaja. Tidak ada.
“Mereka yang masuk secara haram adalah salah di sisi undang-undang dan boleh ditangkap. Itu jelas dalam undang-undang. Jadi tidak timbul isu. Kalau mereka tidak ditangkap dan positif, tentunya golongan ini akan menyebarkan virus kepada rakyat yang tidak bersalah,” katanya.
Ismail Sabri menjelaskan tindakan menangkap pendatang tanpa izin dapat mengekang penularan wabak COVID-19 di negara ini dan seterusnya melindungi keselamatan rakyat keseluruhannya.
Semalam, dilaporkan 227 pendatang tanpa izin yang ditahan di tiga Depot Tahanan Imigresen – Bukit Jalil, KLIA Sepang dan Semenyih, didapati positif COVID-19.
Sumber : BH Online
Discussion about this post